Hukum Dedahkan Kesalahan Pemimpin
oleh:Ust.Nasrudin Hassan at Tantawi
Hukum mengumpat
Mengumpat ialah mendedahkan sesuatu perkara yang betul-betul ada pada seseorang yang tidak disenangi penghebahannya oleh orang tersebut sama ada perkara tersebut adalah perbuatan atau sifat kejadian.
Hukum asal kepada mengumpat adalah haram kerana dengan mengumpat, aib seseorang muslim itu akan didedahkan kepada orang ramai sedangkan Islam mewajibkan para muslim untuk menyembunyikan aib seseorang.
Namun di dalam beberapa keadaan mengumpat dibenarkan oleh Islam.
Al-Imam Al-Ghazali dan Al-Imam Al-Nawawi[1] mendedahkan kepada kita 6 keadaan perbuatan mengumpat itu dibolehkan oleh Syarak. Kesimpulannya adalah seperti berikut
1. Orang yang dizalimi membuat aduan kepada pihak pemerintah seperti Khalifah dan hakim ataupun kepada orang yang mempunyai kemampuan berkaitan dengan individu yang menzaliminya agar kezaliman itu akan dibanteras.
2. Perbuatan mengumpat itu adalah bertujuan untuk membasmi kemungkaran seperti apabila seseorang berkata kepada orang yang mempunyai kemampuan untuk mengubah kemungkaran "Si Fulan melakukan kemungkaran maka cegahlah ia daripada kemungkaran tersebut". Namun hendaklah niat mengumpat tadi semata-mata kerana ingin mencegah kemungkaran.
3. Meminta fatwa daripada seorang mufti yang mana orang yang bertanya terpaksa menggunakan umpatan bagi menjelaskan masalahnya kepada sang mufti. Contohnya si penanya bertanya "Ayah saya menzalimi saya kerana sebab begini dan begini. Bagaimanakah cara untuk saya mendapatkan hak saya?"
4. Memberikan peringatan kepada para muslim terhadap kejahatan seseorang agar setiap orang dapat menghindari kejahatannya.
5. Apabila seseorang itu menzahirkan kemungkaran yang dilakukannya. Maka ketika itu tidak mengapa seandainya kita menghebahkan kepada masyarakat kejahatan yang dilakukannya kerana dia sendiri telah pun menzahirkan kejahatannya secara terang-terang. Walaubagaimanapun kejahatan yang dibenarkan untuk didedahkan hanyalah perbuatan munkar yang dilakukannya secara terang-terangan. Adapun kejahatan lain yang dilakukannya secara bersembunyi maka haram hukumnya untuk didedahkan kepada masyarakat umum.
6. Mengumpat dengan tujuan mengenali seseorang. Apabila seseorang individu dikenali dengan sesuatu aib yang ada pada dirinya maka kita boleh menggunakan gelarannya yang merupakan aib tersebut atas tujuan untuk mengenali orang tersebut. Namun kebenaran ini dibolehkan dengan syarat si pemilik aib tersebut tidak merasa marah dengan gelaran aib yang disandarkan kepadanya selepas gelaran tersebut dikenali oleh orang ramai.
Idea Pendidikan Oleh Ilmuan Muslim Silam
-
Kali pertama saya membaca hadis ini, saya adalah seorang pelajar Syariah.
Perhatian kami tertumpu kepada konotasi fiqh riwayat ini bahawa seorang
yang lebi...
No comments:
Post a Comment